Selasa, 2 Jun 2009

Ahad, 25 Januari 2009

Latarbelakang




Cantik dan halus buatannya tidak terkata. Dilihat dari jauh, ia seakan tumbuhan hidup dengan ciri-ciri yang begitu semula jadi, ditambah dengan seni halus yang boleh memikat hati sesiapa yang melihatnya.

Koleksi bunga-bunga orkid sama ada berbunga halus dan besar adalah keistimewaan bagi kraf yang menggunakan teknik clay ini.

Ia bukan sebarang tanah liat tetapi tanah liat yang lembut lagi senang diadun dan dibentuk bagi menghasilkan bunga, daun, batang dan bahagian tumbuhan yang lain. Sebab itu ia dipanggil soft clay atau lebih dikenali sebagai Japanese clay dan sememangnya teknik ini berasal dari Jepun.

Kini, bunga tanah liat menjadi kegilaan penggemar kraftangan. Di Thailand, Taiwan dan Jepun seni kraftangan ini semakin berkembang dan mendapat permintaan tinggi. Tanah liat yang dimaksudkan bukan lagi tanah liat jenis lama yang digunakan untuk perhiasan tembikar yang memerlukan ia dibakar di dalam ketuhar atau pembakar. Sebaliknya, tanah liat jenis baru ini dikeringkan menggunakan pelbagai cara lain seperti jemuran matahari atau terdedah kepada suhu biasa bilik atau dikeringkan dengan bantuan air dan ianya lebih mudah, cepat dan murah serta boleh dikuasai sesiapa saja termasuk kanak-kanak.

Di Malaysia, seni ini belum meluas kerana membuatnya memerlukan penelitian yang rapi, bahan yang mahal dan kesukaran untuk mendapat bahan mentahnya. Namun, jangan jadikan ianya sebagai alasan, jika kita benar-benar meminati teknik ini, segala alasan itu boleh diatasi malah bakal memberi pendapatan yang lumayan apabila rajin dan kena gayanya.

Untuk mempelajarinya jangka waktu untuk menyiapkan setangkai bunga memerlukan sekurang-kurangnya dua hari iaitu daripada proses menguli clay, mencampur pewarna, membentuk bunga, batang dan daun menggunakan acuan serta mengeringkannya. Kelembutan dan kreativiti akan membantu menjadikan kraftangan bunga tanahliat ini menjadi lebih cantik.

Cara penjagaannya, untuk tahan lama dan cantik sentiasa, gunakan baby wipes untuk mengelapkan bahagian-bahagian bunga ataupun krim tangan untuk nampak lebih segar. Jangan sesekali menggunakan air atau membasuhnya kerana warnanya akan luntur.